Sunday, August 22, 2010

Lelaki tua mangsa langgar lari

2010/08/23
KUANTAN: Seorang lelaki dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Tarawih maut apabila menjadi mangsa langgar lari, di Kilometer 156.3, Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, Abdullah Talib, 80, dari Tanjung Gemok, Rompin, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala selepas tercampak ke jalan. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Beliau berkata, siasatan turut mendapati, pemandu terbabit dipercayai memandu laju di laluan gelap sebelum melanggar mangsa sehingga melambung dan menimpa cermin kereta terbabit sebelum sekali lagi jatuh ke permukaan jalan.

Berikutan itu, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk bedah siasat dijalankan, katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Johari berkata, hasil maklumat yang diterima, polis berjaya mengesan sebuah Proton Saga yang ditinggalkan pemiliknya di Pantai Tujuh, dekat sini, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Rompin untuk siasatan.

No comments:

Post a Comment