Sunday, August 22, 2010

Rumah Ku Syurga Ku

betulkah ini rumah yang dimaksudkan

'Kami tabah tunggu mama, papa'

KUALA KRAI: Sembilan beradik yang ditinggalkan hampir setahun kini menanti penuh sabar sambil berdoa agar keberkatan Ramadan mengetuk pintu hati ibu bapa mereka untuk sekurang-kurangnya menghubungi keluarga sejurus kad ucapan terbuka sempena sambutan Aidilfitri dilayangkan mereka menerusi akhbar, semalam.

Sehingga petang semalam, mereka masih berharap telefon bimbit milik datuk, Kassim Mat Diah, 55, berdering dengan panggilan daripada ibu bapa, pasangan Kasmaliza Kassim, 29, dan Mahadi Che Mansor, 31. Bagi sembilan beradik itu, kepulangan ibu bapa mereka sempena sambutan Aidilfitri ini adalah hadiah paling bermakna buat mereka sekeluarga, berbanding duit raya atau baju baru yang sentiasa diimpikan oleh kebanyakan rakan sebaya masing-masing. Semalam, tujuh daripada sembilan beradik iaitu Amirul Rizal, 11; Afiq Asyraf, 10; Natasha Emilia, 9; Arif Hafizi, 7; kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 4; dan Naqiuddin, 3, menitipkan kad ucapan Aidilfitri khusus buat Kasmaliza dan Mahadi, yang disiarkan pada muka semua akhbar terbitan kumpulan The New Straits Times Press (NSTP).



Amirul Rizal berkata, dia dan adiknya sentiasa berdoa agar ibu bapa mereka terbuka hati untuk kembali ke pangkuan keluarga pada sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang kira-kira dua minggu lagi.



Saya dan adik hanya mahu mama dan papa balik menjaga kami seperti dulu. Kami sangat merindui mereka, tanpa mama dan papa, Aidilfitri kali ini amat menyedihkan kami sekeluarga.



Kami tidak pernah berhari raya tanpa mama dan papa, katanya, murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah itu, yang kini memikul tanggungjawab besar membantu mengawasi adiknya. Dua lagi kakaknya, Nor Hidayah, 13, dan adik, Nia Khalisa, 2, dalam jagaan ibu saudara di Seremban dan Kota Bharu.

Sementara itu, Kassim berharap anak dan menantunya melupakan persengketaan yang pernah timbul antara mereka dan kembali ke kampung halaman serta menjaga anak mereka yang ditinggalkan.



Saya tak menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya cuma berdoa agar mereka pulang menyambut Hari Raya bersama anak.



Jika orang ramai mempunyai maklumat anak dan menantu saya atau mereka sendiri dapat menghubungi saya menerusi talian, 013-9260756, katanya di sini, semalam.



Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Krai, Azizan Aziz, ketika mengulas kelewatan bantuan disalurkan kepada sembilan beradik terbabit, berkata bantuan itu akan disalurkan dalam masa terdekat kerana beberapa masalah berlaku.

Anggota demokrat juga bantah bina masjid dekat lokasi 9/11

2010/08/23
NEW YORK: Semakin ramai anggota Parti Demokrat Amerika Syarikat khususnya di New York dan sekitarnya tidak menyokong pandangan Presiden Barack Obama minggu lalu bahawa orang Islam berhak membina masjid dan menjalankan kegiatan keagamaan dekat lokasi 9/11.

Penganalisis percaya, lapan anggota Demokrat mungkin kalah dalam pilihan raya separuh penggal tahun ini sekali gus hilang majoriti di Kongres. Parti Demokrat menguasai 27 kerusi Senat dan 29 kerusi Kongres di New York. Bermula dari timur Long Island hingga ke kawasan pedalaman lebih mewah, anggota Demokrat menentang pembinaan bangunan diberi nama Pusat Cordoba menempat masjid, gimnasium, kolam renang dan pusat budaya bernilai AS$100 juta (RM320 juta), dua blok dari lokasi 9/11. Kira-kira 2,700 orang terbunuh dalam kejadian pada September 2001 meskipun 300 daripadanya adalah orang Islam jarang disebut.

Anggota Demokrat terbaru tidak menyokong pandangan Obama ialah John Hall yang sudah dua penggal berkhidmat di daerah ke-19 di utara New York dan bakal menghadapi tentangan pencabar Republikan, Nan Hayworth.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kebebasan beragama adalah asas demokrasi tetapi berharap projek itu dibina di tempat lain.

Saya berpendapat, langkah terbaik ialah membina pusat itu di tempat lain sebagai menghormati mereka yang terbunuh dalam insiden 11 September selain menunjukkan kita sensitif kepada keluarga mangsa, katanya.
Hall menyertai tiga anggota Demokrat lain yang dipercayai berkedudukan goyah menghadapi pilihan raya November depan, membantah pembinaan Pusat Cordoba.

Di Long Island, seorang lagi anggota Demokrat, Tim Bishop, berkata pengusaha pusat Islam patut memindahkan pembinaan ke tempat lain kerana lokasi 9/11 wajar menjadi simbol persefahaman antara agama. Perwakilan Demokrat di Staten Island, Mike McMahon juga berharap projek itu dibina di tempat lain.

Pandangan mereka sedikit sebanyak dibantu kenyataan Ratu Amerika Syarikat 2010, Rima Fakih, berketurunan Lubnan yang dilaporkan berkata bahawa Pusat Cordoba terlalu hampir dengan tempat berlakunya serangan terburuk dalam sejarah Amerika. Agensi

Fulham ikat Manchester United 2-2

LONDON: Brede Hangeland menebus jaringan gol sendiri dengan menanduk masuk gol penyamaan ketika Fulham bangkit dua kali untuk mengikat Manchester United 2-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.

Hangeland bangkit selepas menolak sepakan sudut Ryan Giggs ke gawang sendiri padaminit ke-84 untuk menanduk masuk melepasi Edwin Van der Sar enam minit kemudian. Selepas gol sendiri itu, Manchester United dianugerahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Damien Duff tetapi Nani gagal menyempurnakannya. Paul Scholes meletakkan United di depan pada separuh masa pertama menerusi gol ke-150 bersama kelabnya itu tetapi Simon Davies menyamakan kedudukan selepas rehat. - AP

Lelaki tua mangsa langgar lari

2010/08/23
KUANTAN: Seorang lelaki dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Tarawih maut apabila menjadi mangsa langgar lari, di Kilometer 156.3, Jalan Kuantan-Johor Bahru, dekat Rompin, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.15 malam, Abdullah Talib, 80, dari Tanjung Gemok, Rompin, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala selepas tercampak ke jalan. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Beliau berkata, siasatan turut mendapati, pemandu terbabit dipercayai memandu laju di laluan gelap sebelum melanggar mangsa sehingga melambung dan menimpa cermin kereta terbabit sebelum sekali lagi jatuh ke permukaan jalan.

Berikutan itu, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Muadzam Shah (HMS) untuk bedah siasat dijalankan, katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Johari berkata, hasil maklumat yang diterima, polis berjaya mengesan sebuah Proton Saga yang ditinggalkan pemiliknya di Pantai Tujuh, dekat sini, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Rompin untuk siasatan.